KATA PEMERI
Kata pemeri ialah kata yang berfungsi sebagai penghubung antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam ayat. Kata pemeri ini berfungsi sebagai penegas predikat sesuatu ayat. Oleh itu, kata pemeri ini dikenali sebagai kata penegas juga. Dalam bahasa Melayu baku, kata pemerinya adalah seperti yang berikut:-
|
Perhatikan penerangan di bawah ini.
Kata Pemeri | Penerangan | Ayat Contoh |
ialah | Digunakan untuk menegaskan kesungguhan pada makna frasa nama dan frasa sendi | 1 Rumah banglo mewah ini ialah rumah Datuk Hamzah. 2 Bungkusan hadiah itu ialah daripada kenalan barunya itu. |
adalah | Digunakan untuk menegaskan kesungguhan pada makna frasa nama dan frasa sendi | 1 Eda adalah anak emas kepada pasangan Datin Lily dan Dato’ Munir. 2 Tujuan malam amal itu diadakan adalah untuk mengutip derma bagi mengisi tabung bantuan pesakit jantung berlubang. |
· Untuk menegaskan kesungguhan pada makna frasa adjektif, hanya kata pemeri adalah saja yang paling sesuai digunakan.
Contoh:
1. Penerangan yang diberi oleh penceramah pada malam itu adalah jelas sekali.
2. Kiraan yang dibuat oleh juruwang itu adalah tepat sekali.
· Dalam penulisan atau binaan ayat, elakkan daripada melakukan kesalahan seperti yang berikut:-
1. Kesalahan menggunakan kata pemeri ialah untuk menegaskan kesungguhan pada makna
frasa adjektif dalam ayat.
Contoh:
1. a) Kebanyakan huruf pada helaian buku itu ialah kabur. (X)
b) Kebanyakan huruf pada helaian buku itu adalah kabur. (√)
2. Kesalahan menggunakan kata pemeri adalah untuk menegaskan kesungguhan pada
makna frasa kerja dalam ayat.
Contoh:
1. a) Adalah diumumkan bahawa pemenang bagi pertandingan pidato pada tahun ini ialah
Saudara Shahrir Arman. (X)
b) Dengan ini diumumkan bahawa pemenang bagi pertandingan pidato pada tahun ini
ialah Saudara Shahrir Arman. (√)
No comments:
Post a Comment