Saturday, 1 October 2011

KATA MAJMUK MANTAP

Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan. Bentuk-bentuk kata tersebut ialah:
1.   antarabangsa
2.   beritahu
3.   bumiputera
4.   jawatankuasa
5.   kakitangan
6.   kerjasama
7.   olahraga
8.   matahari
9.   setiausaha
10. sukarela
11. suruhanjaya
12. tandatangan
13. tanggungjawab
14. warganegara
15. pesuruhjaya

KATA HUBUNG

KATA HUBUNG

Kata hubung ialah kata yang berperanan atau berfungsi untuk menggabungkan kata dengan kata, ayat dengan ayat atau frasa dengan frasa. Dalam bahasa Melayu baku, kata hubung dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu kata hubung gabungan, kata hubung pancangan dan kata hubung berpasangan.

Kata Hubung Gabungan
Kata hubung gabungan ialah kata hubung yang digunakan untuk menggabungkan kata dengan kata, frasa dengan frasa dan klausa dengan klausa.

Contoh:
                atau, bahkan, dan, lalu, kecuali, manakala, melainkan, padahal, sambil, seraya, serta, tetapi

Kata Hubung
Fungsinya
Contoh Penggunaan dalam Ayat

atau
Menunjukkan pilihan
1. Kim belum pasti sama ada akan melanjutkan 
    pelajarannya ke maktab atau ke universiti.
2. “Awak atau saya yang perlu menyiapkan 
    tugasan ini, Zul?” tanya Amin.
dan
Menggabungkan dua unsur yang setara
1. Anjing dan kucing itu dipelihara oleh orang 
   kaya itu.
2. Ah Seng dan Karim pergi memancing di 
   lombong tinggal itu.
kecuali
Menunjukkan kekecualian
1. Semua murid di kelas itu membaca buku di 
    perpustakaan kecuali Shamsudin.
2. Datuk Salleh bekerja setiap hari kecuali pada 
    hari Ahad atau hari kelepasan am.
lalu
Menggabungkan dua perbuatan yang dilakukan secara berturut-turut
1. Milah masuk ke bilik lalu berbaring di atas 
    tilam yang empuk itu.
2. Anjing garang itu menerkam pencuri itu lalu
    menggigit punggungnya.
serta
Menyatakan maksud turut atau bersama-sama
1. Aliah rajin serta gigih berusaha.
2. Ali, Muthu, Salleh, dan Zaidi serta Farid
   bercadang untuk pergi menonton wayang pada 
   hari minggu ini.
sambil
Menunjukkan perbuatan lain dilakukan di samping perbuatan utama
1. Sally menyanyi sambil menari.
2. Kamala berlari sambil menjinjing beg plastik.
tetapi
Menggabungkan ayat dengan ayat yang lain
1. Amran suka makan nasi lemak tetapi dia tidak 
    suka makan roti canai.
2. Rumah banglo itu sungguh cantik tetapi 
    harganya terlalu mahal.


Kata Hubung Pancangan

Kata hubung pancangan ialah kata hubung yang digunakan untuk membentuk ayat pancangan.

Contoh:
                apabila, agar, jika, kalau, kerana, meskipun, selama, sekiranya, semenjak, selagi, sementara,
sungguhpun, supaya, walaupun, ketika

Perhatikan rajah penggunaan kata hubung pancangan yang berikut.


Kata Hubung
Fungsinya
Contoh Penggunaan dalam Ayat

agar
Menerangkan maksud/tujuan
1. Ibu berdoa agar abang lulus dengan cemerlang dalam 
    ujian memandu itu.
2. Kadir sanggup makan ubat yang pahit itu agar dia cepat 
    sembuh.
apabila
Menerangkan masa berlakunya sesuatu peristiwa/kejadian
1. Apabila ditegur, dia merajuk.
2. Dawai itu mengembang apabila dipanaskan.
kerana
Menunjukkan alasan/sebab
1. Kerana demam, dia tidak dapat mengambil bahagian
    dalam sukan itu.
2. Dia dimarahi oleh ayahnya kerana memecahkan sebiji
    gelas minuman.
manakala
Menunjukkan masa dan perkara yang bertentangan
1. Fauzi sibuk menyiapkan kerja sekolahnya manakala
    rakan-rakannya yang lain asyik bermain sahaja.
2. Mala sibuk menyiapkan hidangan untuk para tetamu yang datang manakala adik dan kakaknya sibuk melayan tetamu.
setelah/
sebelum
sejak
Menunjukkan masa
1. Setelah siap mengemas rumah, Ramlah menyiapkan
   kerja sekolahnya pula.
2. Sebelum ke bandar, Amran meminta keizinan ibunya 
    terlebih dahulu.
3. Sejak berpindah ke ibu kota, Azman jarang pulang ke 
    kampung.
supaya
Menerangkan maksud/tujuan
1. Ibu menyuruh kakak memberus gigi setiap hari supaya  
    gigi kelihatan cantik dan bersih.
2. Pamela menggunakan alat solek yang mahal harganya 
    supaya dia kelihatan lebih begaya dan cantik.

Kata Hubung Berpasangan

Kata hubung berpasangan ialah kata hubung yang digunakan secara berpasangan dalam satu ayat.
Contoh:
                baik…mahupun                                  kian…kian
                entah…entah                                       sedangkan…inikan pula
                bukan sahaja…bahkan juga            sungguhpun…namun
                makin…makin                                    bukan sahaja…tetapi juga
                sungguhpun…tetapi                           sama ada…atau
bagaimana…begitulah                      daripada…lebih baik
jangankan…pun                                 semakin…semakin

·         Kata hubung berpasangan ‘baik…mahupun’.
       Digunakan untuk menyatakan maksud sama sahaja.
       Ayat contoh:
                1.   Baik Rosli mahupun Jamal boleh menyertai pertandingan nyanyian itu.
                2.   Sebagai seorang nelayan yang bergantung hidup kepada laut, Pak Ali terpaksa turun ke
      laut juga baik dalam keadaan cuaca baik mahupun keadaan laut bergelora.

·         Kata hubung berpasangan ‘bukan sahaja…bahkan juga’.
       Digunakan untuk menyatakan maksud serta atau di samping itu juga.
       Ayat contoh:
                1.   Swee Kim bukan sahaja cantik bahkan juga berbudi bahasa.
                2.   Kamil bukan sahaja peramah bahkan juga pandai berjenaka.


·         Kata hubung berpasangan ‘daripada…lebih baik’.
       Digunakan untuk menunjukkan pertentangan maklumat.
       Ayat contoh:
                1.   Daripada membazir wang lebih baik saya menabung.
                2.   Daripada membuang masa lebih baik saya membaca buku.

Wednesday, 28 September 2011

KATA BANTU

KATA BANTU

Kata bantu ialah kata yang digunakan untuk menerangkan perbuatan atau kata kerja. Dalam binaan ayat, kata bantu ini hadir sebelum kata kerja.

Dalam bahasa Melayu baku, kata bantu dapat dibahagikan kepada dua jenis seperti yang berikut:
                a)   Kata bantu aspek
                b)   Kata bantu ragam

a)   Kata Bantu Aspek
               
Kata bantu aspek ialah kata bantu yang menerangkan perbuatan atau kata kerja dari segi masa sama ada belum dilakukan, sedang dilakukan, atau sudah dilakukan.

Perhatikan contoh di bawah ini.

 Perhatikan contoh di bawah ini.



Kata Bantu Aspek

Sudah dilakukan

Sedang dilakukan
Belum dilakukan
              pernah
               telah
              sudah

            masih
          sedang
           akan
          belum



Ayat contoh:

1.   “Saya pernah ditahan oleh polis kerana memandu kereta melebihi had laju,” kata Albert.
2.   Abang Zaini telah berangkat ke London pada minggu lalu.
3.   Kasmah sudah menyiapkan hidangan tengah hari untuk kami sekeluarga.
4.   Pak Man masih tetap dengan keputusannya untuk tidak menjual tanah pusaka itu.
5.   Fuad sedang membanting padi di belakang rumahnya.
6.   “Saya akan menjelaskan perkara ini kepada kamu apabila sampai masanya nanti.
7.   Cikgu Hashim belum membalas kad ucapan Hari Raya yang saya kirimkan kepadanya itu.

·         Dalam penulisan kata bantu aspek tertentu boleh hadir bersama-sama.

 

Contoh:


 belum pernah                       sudah pernah
 masih belum                         telah pernah
                  masih sedang







Ayat contoh:

1.   Ibunya belum pernah menjejakkan kaki ke ibu kota Kuala Lumpur.
2.   Adik masih belum bangun daripada tidur sewaktu ibu keluar pada pagi tadi.
3.   Abang masih sedang membaca buku di bilik bacaan.
4.   Kamil sudah pernah menjuarai pertandingan pidato peringkat kebangsaan.
5.   Adila telah pernah ditawarkan berlakon drama oleh pihak TV3.

b)   Kata Bantu Ragam

Kata bantu ragam ialah kata bantu yang menerangkan ragam perasaan yang berkaitan dengan perbuatan iaitu sama ada seseorang itu mesti melakukan, hendak melakukan atau berkeupayan melakukan sesuatu perbuatan.
Perhatikan contoh di bawah ini.



Kata Bantu Ragam

               hendak
               mahu

                         harus
                         mesti
                        boleh
                        dapat


Ayat contoh

1.   Abang dan rakan-rakan hendak ke Putrajaya pada cuti persekolahan yang akan datang.
2.   Sebagai rakyat yang baik kita mesti taat kepada raja dan negara.
3.   Kata Cikgu Maya kepada Aida, “Kamu boleh menyertai lawatan ini dengan syarat, kamu mendapat
      kebenaran daripada ibu bapa kamu.”
4.   Harun dapat menyiapkan tugasan itu dalam masa yang singkat sahaja.

·         Dalam penulisan, kata bantu ragam boleh hadir bersama-sama dengan kata bantu aspek sama ada secara mendahuluinya atau mengikutinya.
       Perhatikan contoh di bawah ini.

Kata Bantu Aspek
+
Kata Bantu Ragam
Kata Bantu Ragam
+
Kata Bantu Aspek
akan dapat
belum boleh
belum hendak
sedang hendak
harus sudah
harus telah
mesti akan
mesti sudah
mesti telah

Ayat contoh

1.   Adik belum boleh pergi ke bandar bersendirian kerana dia masih kecil.
2.  Razak harus telah menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh Cikgu Zainab.
3.  Ayah sedang hendak ke pejabat ketika ibu menyampaikan berita tentang kematian nenek 
     kepadanya.
4.  Kata Meor, “Saya yakin bahawa Abu mesti akan datang ke mari kerana dia telah berjanji kepada
      saya untuk pergi berburu di hutan dengan saya.”

·         Dalam penulisan atau binaan ayat, elakkan daripada melakukan kesalahan panggunaan kata bentu seperti yang berikut:-
1.       Kesalahan menggunakan kata bantu boleh untuk menggantikan tempat kata bantu dapat dalam
ayat.

              Contoh

                1.a)   Amira tidak boleh menerima kenyataan bahawa dia anak angkat Datuk Kahar. (X)
                   b)   Amira tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia anak angkat Datuk Kahar. (√)
               
         2.   Kesalahan menggunakan kata bantu hendak sebagai kata tanya dalam ayat tanya.

               Contoh:

                1.a)   “Hendakkah kamu membantu saya lagi?” tanya Amin kepada Rosli. (X)
                   b)   “Mahukah kamu membantu saya lagi?” tanya Amin kepada Rosli. (√)

Thursday, 22 September 2011

KATA PEMERI

KATA PEMERI

Kata pemeri ialah kata yang berfungsi sebagai penghubung antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam ayat. Kata pemeri ini berfungsi sebagai penegas predikat sesuatu ayat. Oleh itu, kata pemeri ini dikenali sebagai kata penegas juga. Dalam bahasa Melayu baku, kata pemerinya adalah seperti yang berikut:-
                               
   ialah   adalah
 
 



Perhatikan penerangan di bawah ini.

Kata Pemeri
Penerangan
Ayat Contoh

ialah
Digunakan untuk menegaskan kesungguhan pada makna frasa nama dan frasa sendi
1   Rumah banglo mewah ini ialah  
      rumah Datuk Hamzah.
2   Bungkusan hadiah itu ialah  
     daripada kenalan barunya itu.
adalah
Digunakan untuk menegaskan kesungguhan pada makna frasa nama dan frasa sendi
1   Eda adalah anak emas kepada 
      pasangan Datin Lily dan Dato’ 
      Munir.
2   Tujuan malam amal itu diadakan 
     adalah untuk mengutip derma  
     bagi mengisi tabung bantuan 
     pesakit jantung berlubang.

·         Untuk menegaskan kesungguhan pada makna frasa adjektif, hanya kata pemeri adalah saja yang paling sesuai digunakan.

       Contoh:

                1.   Penerangan yang diberi oleh penceramah pada malam itu adalah jelas sekali.
                2.   Kiraan yang dibuat oleh juruwang itu adalah tepat sekali.

 

·         Dalam penulisan atau binaan ayat, elakkan daripada melakukan kesalahan seperti yang berikut:-
       1.   Kesalahan menggunakan kata pemeri ialah untuk menegaskan kesungguhan pada makna
             frasa adjektif dalam ayat.

       Contoh:

1. a)   Kebanyakan huruf pada helaian buku itu ialah kabur. (X)
    b)   Kebanyakan huruf pada helaian buku itu adalah kabur. (√)

 

       2.   Kesalahan menggunakan kata pemeri adalah untuk menegaskan kesungguhan pada  
             makna frasa kerja dalam ayat.

       Contoh:

1. a)   Adalah diumumkan bahawa pemenang bagi pertandingan pidato pada tahun ini ialah
          Saudara Shahrir Arman. (X)
    b)   Dengan ini diumumkan bahawa pemenang bagi pertandingan pidato pada tahun ini
           ialah Saudara Shahrir Arman. (√)


Tuesday, 20 September 2011

BAHAGIAN C - NILAI MURNI / PENGAJARAN

BM UPSR Kertas 2 - Bahagian C ( Nilai Murni @ Pengajaran )

Tafsiran Nilai Murni:

BAIK HATI
- Belas kasihan (Bersimpati terhadap kesesusahan orang lain)
- Bertimbang rasa (Mengambil kira keperluan dan perasaan orang lain apabila
membuat sesuatu tindakan)
- Murah hati (Memberi bantuan secara ikhlas kepada mereka yang
memerlukannya)
- Saling memahami (Sanggup memberi dan menerima pandangan serta
memahami perasaan dan keperluan masing-masing)
- Saling bermaafan (Sanggup meminta maaf dan memberi kemaafan)

BERDIKARI
- Berupaya bertindak sendiri (Sanggup dan boleh melakukan sesuatu tanpa
mengharapkan orang lain)
- Yakin pada diri sendiri (Percaya kepada kebolehan diri sendiri dan sanggup
mencuba)

HEMAH TINGGI
- Kesopanan (Berbudi bahasa dan beradab dalam pergaulan)
- Mengakui kesalahan sendiri (Sedia mengaku kesilapan diri sendiri serta 
sanggup menerima nasihat)
- Ramah mesra (Sedia bergaul mesra dengan semua orang)

HORMAT-MENGHORMATI
- Ibu bapa (Memuliakan dan mentaati ibu bapa)
- Ahli keluarga, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin
(menunjukkan rasa hormat kepada kumpulan tersebut dengan memberi
layanan yang baik)
- Institusi kerajaan dan Negara (Menerima dan hormat kepada kerajaan 
serta lambang-lambang kebesaran negeri)
- Kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan (Menghormati 
kepercayaan dan adat resam semua keturunan di Malaysia)
- Patuh kepada undang-undang negara (Mematuhi undang-undang yang telah
ditentukan tanpa mengira di mana seseorang itu berada)
- Patuh kepada ketepatan masa (Menepati waktu dan menggunakan masa
dengan berfaedah)

KASIH SAYANG
- Sayang diri sendiri dan orang lain (Menyayangi diri sendiri dan orang lain)
- Sayang akan alam sekitar (Memelihara dan memulihara kehidupan flora dan
fauna untuk kesejahteraan hidup)

KEADILAN
- Adil (Membuat pertimbangan secara objektif, menyeluruh dan bersesuaian)
- Saksama (Tidak berat sebelah dalam sesuatu tindakan dan keputusan sama
ada dalam memberikan ganjaran atau hukuman)

KEBEBASAN
- Boleh melakukan sesuatu asalkan tidak melanggar batas peraturan dan
undang-undang yang tersurat dan tersirat dalam keluarga, sekolah, komuniti,
masyarakat, negara dan agama

KEBERANIAN
- Berani mencuba (Berani melakukan sesuartu perkara yang baru dan
mencabar untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain dengan mengambil risiko
yang akan dihadapi)
- Berani kerana benar (Berani mempertahankan sesuatu yang diakui
sebenarannya dengan menunjukkan bukti yang nyata)

KEBERSIHAN FIZIKAL DAN MENTAL
- Kebersihan diri (Kebersihan anggota yang perlu dijaga oleh setiap individu
untuk hidup sihat)
- Kebersihan persekitaran (Pemeliharaan alam sekeliling supaya rapi dan
bebas daripada kekotoran dan pencemaran)
- Kebersihan mental (Pertuturan dan perlakuan yang terpuji yang perlu
diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan orang lain)

KEJUJURAN
- Amanah (Bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu tugas yang diberikan
dan dapat menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang lain)
- Bercakap benar (Menyatakan perkara yang benar tanpa menokok tambah
atau berselindung)
- Ikhlas (Melakukan sesuatu dengan suci hati tanpa mengharapkan balasan) 
KERAJINAN
- Daya usaha (Berusaha bersungguh-sungguh dengan inisiatif, kreatif dan
inovatif untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti.)
- Dedikasi (Berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga untuk perkara
yang berfaedah)

KERJASAMA
- Gotong-royong (Melakukan sesuatu tugas secara beramai-ramai dan
sukarela)
- Toleransi (Bertolak ansur serta dapat mengawal diri untuk mengelakkan
berlakunya perselisihan)
- Perpaduan (Bersefahaman dan bekerjasama di peringkat keluarga,
masyarakat, negara dan antarabangsa)

KESEDERHANAAN
- Pertuturan dan perlakuan yang sederhana (Bertutur dan berkelakuan yang
tidak melampaui batas serta menyinggung perasaan atau menimbulkan
kemarahan orang lain)
- Kesederhanaan dalam menimbangkan kepentingan diri dan kepentingan 
orang lain (Membuat pertimbangan yang sewajarnya supaya Memuaskan diri
sendiri dan orang lain)

KESYUKURAN
- Berterima kasih (Melahirkan perasaan untuk menunjukkan pengiktirafan dan
penghargaan terhadap sesuatu jasa, sumbangan dan pemberian)

PATRIOTISME
- Semangat cintakan negara (Mempunyai semangat yang tinggi untuk menjaga
keselamatan, nama baik negara)

RASIONAL
- Membuat pertimbangan (Berupaya mengambil kira baik buruknya sesuatu
perkara sebelum membuat keputusan)

SEMANGAT BERMASYARAKAT
- Bermuafakat (Mengutamakan persetujuan dan kerjasama dalam sesuatu
pekerjaan bagi kepentingan bersama)
- Kejiranan (Berbaik-baik, bertolak ansur, tolong-menolong, dan bekerjasama
dengan jiran tetangga)
- Peka terhadap isu-isu sosial dalam masyarakat (Menyedari masalah
masyarakat dan sedia berusaha menyelesaikannya) 



Latihan Contoh 1:

Tuliskan beberapa amalan baik yang kamu dapati daripada petikan di bawah.
Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Hamdan bangun lewat pada pagi itu kerana dia menonton televisyen hingga larut malam. Dia tidak sempat bersarapan. Dia terus mencapai basikal untuk pergi ke sekolah tanpa bersalam dengan ibu dan bapanya. Tiba di persimpangan jalan, dia tidak menghiraukan lampu merah lalu terus memecut ke sekolah. Mujurlah tiada kenderaan ketika itu. Sesampainya di hadapan sekolah, murid-murid telah berada di tapak perhimpunan. Dia terus berlari ke tapak perhimpunan tanpa mengunci basikalnya. Sedang semua murid menyanyi lagu “Negaraku” , dia masih lagi berlari untuk masuk ke dalam barisan. Ketika hendak pulang ke rumah, dia mendapati bahawa basikalnya telah hilang. Dia telah diberi peluang tumpang oleh rakan untuk pulang ke rumah.

Isi-isi cadangan:

- Bangun lewat – Bangun awal supaya tidak tergesa-gesa ke sekolah.
- Menonton hingga lewat malam – Tidak digalakkan kerana menjejaskan
kesihatan. Tidak cukup tidur.
- Tidak sempat bersarapan - Bersarapan terlebih dahulu mendapatkan tenaga
untuk belajar.
- Tidak bersalaman – Bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa untuk mendapat
restu.
- Melanggar lampu isyarat – Mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan.
- Berjalan semasa lagu “Negaraku” – Berdiri tegak untuk menghormati lagu
kebangsaan.
- Memberi pertolongan kepada yang memerlukan.


Jawapan Contoh 1:

     Berdasarkan petikan di atas, kita sepatutnya bangun awal supaya tidak tergesa-gesa untuk ke sekolah seperti yang berlaku kepada Hamdan. Kita tidak sepatutnya menonton hingga lewat malam kerana boleh menjejaskan kesihatan kita. Sebelum kita ke sekolah kita hendaklah bersarapan terlebih dahulu bagi mengalas perut supaya senang belajar. Kita mestilah bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa kita bagi mendapatkan restu daripada mereka. Kita hendaklah mematuhi peraturan demi menjaga keselamatan diri kita. Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah menghormati lagu kebangsaan negara kita dengan berdiri tegak bukannya seperti yang dilakukan oleh Hamdan yang masih berlari. Apabila rakan-rakan kita memerlukan bantuan, kita semestinya menghulurkan bantuan kepada mereka. Kesimpulannya kita hendaklah mengamalkan amalan-amalan yang baik dalam kehidupan harian kita. 



Latihan Contoh 2:
Tulis beberapa nilai/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada puisi di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.

Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.

Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.

Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.

Isi Cadangan:
- Membelai penuh manja (Kasih sayang)
- Sungguh mulia jasa / dikenang sentiasa (Mengenang jasa)
- Berkorban harta dan nyawa (Bertanggungjawab)
- Terima kasih ibu dan bapa (Berterima kasih)
- Bersyukur kita hidup bahagia (Kesyukuran)
- Pengajaran/kesimpulan daripada teks (Hormat-menghormati)


Jawapan Contoh 2:

      Berdasarkan puisi di atas, terdapat beberapa nilai murni dan pengajaran yang boleh amalkan. Sebagai seorang anak kita hendaklah menyayangi kedua-dua ibu bapa kerana mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Di samping itu, kita hendaklah mengenang jasa mereka . Sememangnya ibu bapa kita ialah orang yang amat bertanggungjawab. Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada mereka di samping bersyukur kepada Ilahi kerana mendapat ibu bapa yang baik. Kesimpulannya, untuk membalas jasa kepada kedua-dua ibu bapa, kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati mereka.



Latihan Contoh 3:

Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.

- Berdasarkan puisi di atas pengajaran atau nilai murni yang boleh kita ambil
ialah ibu bapa membela anaknya dengan penuh kasih sayang

Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.

- Selain itu, kita hendaklah sentiasa mengenang jasa ibu dan bapa kerana
mereka telah banyak berjasa kepada kita


Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.

- Di samping itu juga, ibu bapa juga merupakan orang yang
bertanggungjawab dengan melakukan pelbagai pengorbanan semasa
membesarkan kita.

Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.

- Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada ibu bapa kita dan
bersyukur kepada Ilahi kerana mempunyai ibu bapa yang baik
- Kesimpulannya kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati
kedua-dua ibu bapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita

Jawapan Contoh 3:
       Berdasarkan puisi di atas pengajaran atau nilai murni yang boleh kita ambil ialah ibu bapa membela anaknya dengan penuh kasih sayang. Selain itu, kita hendaklah sentiasa mengenang jasa ibu dan bapa kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita. Di samping itu juga, ibu bapa juga merupakan orang yang bertanggungjawab dengan melakukan pelbagai pengorbanan semasa membesarkan kita. Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada ibu bapa kita dan bersyukur kepada Ilahi kerana mempunyai ibu bapa yang baik. Kesimpulannya kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita