KATA BILANGAN
Kata bilangan ialah kata yang digunakan untuk menghitung atau membilang sesuatu. Dalam bahasa Melayu baku, kata bilangan terbahagi kepada enam jenis, iaitu:
a) Kata bilangan tentu
b) Kata bilangantak tentu
c) Kata bilangan himpunan
d) Kata bilangan pecahan
e) Kata bilangan pisahan
f) Kata bilangan tingkat
Perhatikan penerangan di bawah ini.
| Jenis Kata Keterangan | Penerangan | Ayat Contoh |
| Kata bilangan tentu | Kata bilangan yang telah ditentukan jumlah atau bilangannya. Contoh: satu, tiga, enam, sepuluh, tiga ratus, lapan ribu, enam juta | 1 Kerani itu sedang mengepit satu keping fail. 2 Dua buah kelapa muda itu telah ditebuk tupai. |
| Kata bilangan tak tentu | Kata bilangan yang tidak diketahui jumlah/bilangannya. Contoh: para, semua, sesetengah, banyak, pelbagai | 1 Semua penghuni kampung itu akan dipindahkan ke tempat lain. 2 Banyak rumah dan harta benda musnah dalam kejadian banjir lumpur itu. |
| Kata bilangan himpunan | Kata bilangan himpunan asalnya ialah kata bilangan tentu tetapi telah digandakan dan ditambah dengan imbuhan ke- dan ber-. Contoh: berpuluh-puluh, berjam-jam, ketiga-tiga, kelapan-lapan | 1 Kedua-dua buah jambatan itu rosak teruk. 2 Sudah bertahun-tahun kejadian itu berlaku. |
| Kata bilangan pecahan | Kata bilangan yang berbentuk pecahan. Contoh: setengah, satu per empat, dua per lima, tiga per lapan | 1 Setengah bahagian kek itu telah dihurungi semut. 2 Dia mengambil masa hampir tiga per empat jam untuk menyiapkan |
| Kata bilangan pisahan | Kata bilangan yang digunakan untuk membilang sesuatu secara berasingan. Contoh: tiap-tiap/setiap dan masing-asing | 1 Tiap-tiap petang, Pak Ali membawa cucunya itu bersiar-siar di taman bunga. 2 Mereka gagal menyiapkan kerja masing-masing dalam masa yang telah ditetapkan. |
| Kata bilangan tingkat | Kata bilangan yang asalnya kata bilangan tentu tetapi telah ditambah dengan imbuhan ke. Contoh: ketiga, ketujuh, kedua belas, ketiga ratus, kedua juta | 1 Setelah masuk hari yang ketujuh barulah dia berasa badannya agak ringan sedikit. 2 Zainah memilih nombor giliran kedua untuk temuduga jawatan kerani itu. |
· Dalam penulisan elakkan daripada melakukan kesalahan seperti yang berikut:-
1. Kesalahan tidak meletakkan penjodoh bilangan kepada kata nama konkrit yang dibilang
dengan menggunakan kata bilangan tentu.
Contoh:
a) Lima guli itu telah retak. (X)
b) Lima biji guli itu telah retak. (√)
2. Kesalahan menggandakan kata nama konkrit yang dibilang dengan menggunakan kata
bilangan tentu yang telah sedia membawa makna jamak.
Contoh:
a) Sepuluh buah kilang-kilang di kawasan itu beroperasi secara haram. (X)
b) Sepuluh buah kilang di kawasan itu beroperasi secara haram. (√)
3. Kesalahan meletakkan penjodoh bilangan bagi kata nama konkrit yang dibilang dengan
menggunakan kata bilangan tak tentu.
Contoh:
a) Banyak orang pelajar lulus dalam ujian sains itu. (X)
b) Banyak pelajar lulus dalam ujian sains itu. (√)
4. Kesalahan menggandakan kata nama konkrit yang dibilang dengan menggunakan kata
bilangan tak tentu.
Contoh:
a) Para guru-guru diingatkan agar mengambil sikap berkecuali. (X)
b) Para guru diingatkan agar mengambil sikap berkecuali. (√)
5. Kesalahan menulis singkatan kata bilangan himpunan dalam ayat.
Contoh:
a) Kelapan ekor anak lembu itu akan dihantar ke klinik haiwan. (X)
b) Kelapan-lapan ekor anak lembu itu akan dihantar ke klinik haiwan. (√)
6. Kesalahan tidak meletakkan penjodoh bilangan kepada kata nama konkrit yang dibilang
dengan menggunakan kata bilangan himpunan.
Contoh:
a) Kedua-dua bakul itu penuh berisi sayur. (X)
b) Kedua-dua buah bakul itu penuh berisi sayur. (√)
7. Kesalahan menggunakan kata bilangan tak tentu para menjadi para-para.
Contoh:
a) Para-para menteri itu sedang bermesyuarat. (X)
b) Para pelajar itu berasal dari Jepun. (√)
8. Kesalahan menulis ringkas kata bilangan tak tentu berbagai-bagai menjadi berbagai sahaja.
Contoh:
a) Berbagai barang antik ada dipamerkan di situ. (X)
b) Berbagai-bagai barang antik ada dipamerkan di situ. (√)
9. Kesalahan menulis singkat kata bilangan pisahan tiap-tiap menjadi tiap sahaja.
Contoh:
a) Tiap petang dia bermain badminton. (X)
b) Tiap-tiap petang dia bermain badminton. (√)
No comments:
Post a Comment