Monday 19 September 2011

KATA GANTI NAMA DIRI

KATA GANTI NAMA DIRI


Kata ganti nama diri ialah kata yang digunakan untuk menggantikan kata nama orang. Kata ganti nama diri terbahagi kepada tiga jenis seperti yang berikut:
                a)   Kata ganti nama diri pertama
                b)   Kata ganti nama diri kedua
                c)   Kata ganti nama diri ketiga

A  Kata Ganti Nama Diri Pertama
Kata ganti nama diri pertama ialah kata yang digunakan untuk menggantikan nama diri orang yang bercakap atau merujuk kepada diri sendiri apabila bercakap dengan orang lain.
Kata ganti nama diri pertama terbahagi kepada dua, iaitu:
                i)   Bentuk tunggal
                ii)   Bentuk jamak

Bentuk
Contoh Kata Ganti Nama Diri Pertama
Tunggal
aku, beta, daku, hamba, patik, saya
Jamak
kami, kita

Perhatikan penerangan penggunaan kata ganti nama diri pertama di bawah ini.

Kata Ganti Nama Diri Pertama
Penerangan
Ayat contoh
aku
Untuk menggantikan/merujuk diri sendiri apabila:
a) Bercakap dengan orang/kenalan
    yang sangat rapat serta mesra dan
    sedarjat/setaraf.
b) Apabila berdoa kepada Tuhan.
1. Kata Mahmud kepada rakan
    karibnya, “Petang nanti aku ingin 
    mengajak engkau datang ke
    rumahku.”
2. Ya Allah, aku memohon
    keampunan dan keredhaan-Mu.
beta
Digunakan oleh raja, sultan, dan kerabat diraja apabila bertitah kepada rakyat
1. “Beta tidak menyangka bahawa
     orang kaya tergamak menganiaya
     beta,” titah Sultan Samad.
2. Titah Sultan Ali, “Beta datang ke
    mari membawa hajat yang besar.”
daku
Sebagai objek kepada kata kerja transitif yang ejaannya berakhir dengan huruf ‘n’.
1. Kakak Milah membelikan daku
    seutas rantai emas.
2. Hamidah berkakak dengan daku.
hamba
Untuk merujuk diri orang yang bercakap atau diri sendiri pada zaman dahulu.
1. “Hamba sungguh kecewa dengan
    sikap tuan hamba,” kata Panglima 
    Hitam kepada pesuruh raja itu.
2. Kata Datuk Maharaja Lela,
    Hamba sama sekali tidak 
    menyangka begini akan jadinya.”
kita
Untuk merujuk diri sendiri dengan menyertakan diri orang kedua atau orang yang dilawan bercakap.
1. “Mari kita membantu ibu di
    dapur,” kata Ani kepada kakaknya.
2. “Rumah kita ini perlu dicat
    semula, ayah,” kata Zubir.
kami
Untuk merujuk diri orang yang bercakap serta anggota kumpulannya apabila bercakap dengan orang kedua yang tidak termasuk dalam kumpulan mereka.
1. “Ibu bapa kami jarang ada di
    rumah pada waktu siang,” kata
    Mary dan Rita kepada Nita.
2. “Kereta kami ini berjenama
    Proton,” kata Siti dan Wan kepada
    Suzana.

patik
Digunakan oleh rakyat untuk merujuk diri sendiri apabila bercakap dengan raja, sultan dan kerabat diraja.
1. “Pertanyaan patik tadi belum
    tuanku jawab,” kata Bendahara 
    Melaka kepada baginda Sultan.
2. “Keluarga patik masih berada di
    Majapahit, tuanku,” sambung
    Daeng Lebar Daun.
saya
Untuk merujuk diri sendiri apabila bercakap dalam suasana rasmi, dengan orang yang baru dikenali, dengan orang yang dihormati, dengan orang yang lebih tua umurnya dan dengan orang lain pada umumnya.
1. “Tangan saya berasa kebas, tuan
    doktor,” kata pesakit itu.
2. “Kamu jangan cuba
    mempermainkan saya,” kata
    Zaiton kepada Maya.

B   Kata Ganti Nama Diri Kedua
Kata ganti nama diri kedua ialah kata yang digunakan untuk menggantikan nama diri orang kedua atau orang yang diajak bercakap.
Kata ganti nama diri kedua terbahagi kepada dua bentuk, iaitu:
                i)   Bentuk tunggal
                ii)  Bentuk jamak

Bentuk
Contoh Kata Ganti Nama Diri Kedua
Tunggal
anda, awak, dikau, engkau, tuanku, kamu
Jamak
anda, kalian, kamu

Perhatikan penerangan penggunaan kata ganti nama diri pertama di bawah ini.

Kata Ganti Nama Diri Kedua
Penerangan
Ayat Contoh
anda
(tunggal dan jamak)
Merujuk diri orang yang kedua/orang yang dilawan bercakap apabila tiada berhadapan dengan kita. Contohnya dalam siaran radio, televisyen, dalam urusan surat-menyurat dan apabila bercakap dengan orang yang sebaya dengan kita.
1 Kata juruhebah radio itu, “Anda
   perlu berhati-hati supaya tidak
   terbeli barang tiruan.”
2 Sudahkah anda mendaftar sebagai
   pengundi?
awak
(tunggal)
Merujuk diri orang yang kedua yang rapat hubungannya dengan kita, digunakan oleh orang atasan apabila bercakap dengan orang bawahan dan digunakan oleh suami dan isteri tatkala bercakap.
1 “Awak tinggal di mana, Karim?”
   tanya Sabri.
2 Hutang awak masih tinggal seratus
   ringgit sahaja,” kata Saadiah
   kepada suaminya.
dikau
(tunggal)
Digunakan dalam tulisan sebagai objek kepada kata sendi dan kata kerja transitif yang ejaannya berakhir dengan huruf ‘n’.
1 Kassim benci akan dikau, Manan,”
   kata Bacik.
2 “Keengganan dikau melamarnya,
   membuatkan Yati kecewa, Din,”
   kata Dol.
engkau
(tunggal)
Merujuk diri orang yang kedua atau orang yang dilawan bercakap yang rapat hubungannya dengan kita dan dengan Tuhan apabila berdoa.
1 “Kawan-kawan engkau sedang
   menunggu di kantin sana,” kata 
   Rahim kepada rakannya See Yan.
2 Ya Tuhanku, kepada Engkau aku
   memohon kemaafan!
kalian
(jamak)
Merujuk diri orang kedua atau orang yang dilawan bercakap yang bilangannya melebihi seorang/bilangan banyak.
1 “Kalian beredar dahulu,” kata
   Majid kepada rakan-rakannya.
2 Kalau kalian sudah bersedia, mari
   kita bergerak sekarang,” kata Bedul 
   kepada adik-adiknya.
kamu
1. Untuk menggantikan diri orang yang dilawan bercakap yang rapat hubungannya dengan kita.
2. Digunakan oleh orang dewasa apabila bercakap dengan orang yang lebih muda.
1  “Bilakah kamu akan berangkat ke
    Australia, Man?” tanya Mumtaz.
2  “Dengan siapakah kamu akan
   menjalankan perniagaan ini,
   nanti?” tanya Swee King kepada 
   Ah Chye.


C   Kata Ganti Nama Diri Ketiga
Kata ganti nama diri ketiga ialah kata yang digunakan untuk menggantikan nama diri orang yang dicakapkan atau yang diperkatakan.
Contoh:
                baginda, beliau, dia, ia, dan mereka

Perhatikan penerangan penggunaan kata ganti nama diri ketiga di bawah ini.

Kata Ganti Nama Diri Ketiga
Penerangan
Ayat Contoh
baginda
Untuk menggantikan nama sultan/raja/kerabat diraja yang diperkatakan
1 Baginda sedang beradu di bilik
   peraduan.
2 Putera baginda Sultan yang akan
   menaiki takhta kerajaan itu.
beliau
Untuk menggantikan nama diri orang yang dicakapkan yang dianggap mulia, berjasa dan tidak melakukan perbuatan keji.
1 Beliau berasal dari Kedah.
2 Saudara beliau banyak yang 
  menetap di sini.
dia/ia
Untuk menggantikan nama diri orang yang diceritakan/dicakapkan.
1 Dia anak seorang ahli perniagaan.
2 Dia banyak membantu
   menyelesaikan masalah kami di
   sini.
mereka
Untuk menggantikan nama diri orang ketiga yang dicakapkan yang bilangannya melebihi seorang.
1 Mereka jarang berbual dengan
   kami.
2 Ibu mereka telah lama meninggal
  dunia.

·         Dalam penulisan atau binaan ayat, elakkan daripada melakukan kesalahan penggunaan kata ganti nama diri seperti berikut:
1.       Kesalahan menggunakan kata ganti nama diri untuk binatang, benda, tempat dan benda 
abstrak dalam binaan ayat.
              Contoh:
                1.a)   Bajunya koyak. Ia perlu dijahit. (X)
b)       Bajunya koyak. Bajunya perlu dijahit. (√)
                2.a)   Anjing itu menyalak. Ia kelaparan. (X)
                   b)   Anjing itu menyalak. Anjing itu kelaparan. (√)
               
2.       Kesalahan menggunakan kata ganti nama diri beliau untuk menggantikan nama kanak-      
       kanak, penjenayah, penagih dadah atau orang yang dianggap rendah moral atau akhlaknya.
       Contoh:
                1.a)   Penagih dadah itu ditangkap oleh polis ketika beliau sedang dalam keadaan khayal. (X)
b)       Penagih dadah itu ditangkap oleh polis ketika dia sedang dalam keadaan khayal. (√)
                2.a)   Kanak-kanak itu menangis. Beliau kehilangan ibunya. (X)
                   b)   Kanak-kanak itu menangis. Dia kehilangan ibunya. (√)

        3.   Kesalahan menggabungkan kata ganti nama diri ia dan nya menjadi ianya.
              Contoh:
                1.a)   Jika gagal menjelaskan yuran peperiksaan, ianya tidak akan dibenarkan menduduki
         peperiksaan. (X)
                   b)   Jika gagal menjelaskan yuran peperiksaan, ia tidak akan dibenarkan menduduki
         peperiksaan. (√)
                2.a)   Jika melawan, ianya akan dikenakan hukuman yang lebih berat. (X)
                   b)   Jika melawan, ia akan dikenakan hukuman yang lebih berat. (√)

4.       Kesalahan menggunakan kata ganti nama diri ia sebagai objek kepada kata sendi atau 
kata kerja transitif.
              Contoh
                1.a)   Kami tidak suka berkawan dengan ia. (X)
                   b)   Kami tidak suka berkawan dengan dia/nya. (√)
                2.a)   Sudah lama saya menunggu ia datang. (X)
                   b)   Sudah lama saya menunggunya/dia datang. (X)

        5.   Kesalahan tidak dapat membezakan kata ganti nama diri untuk Tuhan dan manusia.
              Contoh:
                1.a)   Tuhan amat menyayangi hambanya. (X)
                   b)   Tuhan amat menyayangi hamba-Nya. (√)
                2.a)   Ya Allah, ampunilah dosa hambamu ini. (X)
                   b)   Ya Allah, ampunilah dosa hamba-Mu ini. (√)

       6.   Kesalahan tidak dapat membezakan penggunaan kata ganti nama diri kami dan kita.
             Contoh:
                1.a)   Kita tinggal tidak jauh dari sini,” kata Abu dan Ali kepada Lim. (X)
                   b)   Kami tinggal tidak jauh dari sini,” kata Abu dan Ali kepada Lim. (√)
                2.a)   Kita anak orang miskin, pak cik,” kata John dan Johnny. (X)
                   b)   “Kami anak orang miskin, pak cik,” kata John dan Johnny. (√)

7.       Kesalahan menggandakan kata ganti nama diri ketiga mereka menjadi mereka-
 mereka.
              Contoh:
                1.a)   Mereka-mereka terdiri daripada pelajar sekolah menengah di daerah ini. (X)
                   b)   Mereka terdiri daripada pelajar sekolah menengah di daerah ini. (√)
                2.a)   Mereka-mereka belajar di kolej swasta. (X)
                   b)   Mereka belajar di kolej swasta. (√)

        8.   Kesalahan menggunakan kata ganti nama diri ia sebagai penerang kepada kata nama.
              Contoh:
                1.a)   Adik ia berusia lima tahun. (X)
                   b)   Adiknya berusia lima tahun. (√)
                2.a)   Rumah ia beratap rumbia. (X)
                   b)   Rumahnya beratap rumbia. (√)

         9.   Kesalahan menggunakan kata ganti nama diri ia sebagai pelaku dalam ayat pasif diri
               ketiga.
               Contoh:
                1. a)   Baju itu belum dijahit ia. (X)
                    b)   Baju itu belum dijahitnya. (√)
                2. a)   Rumah itu sudah dicat ia. (X)
                    b)   Rumah itu sudah dicatnya. (√)

No comments:

Post a Comment